fb fb fb fb fb

Malaysia mampu capai liputan internet 100% sebelum tahun 2025 dengan satelit MEASAT-3d - Annuar

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemu bual media selepas menyaksikan
pelancaran satelit MEASAT-3d secara langsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Pelancaran satelit MEASAT-3d menekankan dua aspek penting dalam perkhidmatan internet negara.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, ia terdiri daripada liputan internet 100% di semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025 dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar kepada kelajuan tinggi.

Perkhidmatan satelit itu yang dilancarkan hari ini boleh digunakan dalam masa beberapa bulan lagi.

"Dengan segeranya lepas percubaan sebulan lebih, kita boleh mula mendapatkan perkhidmatan ini, kita pun guna satelit MEASAT sebelum ini, sebahagian besarnya kalau Sabah dan Sarawak kita guna sepenuhnya perkhidmatan satelit MEASAT," kata beliau selepas menyaksikan pelancaran satelit MEASAT-3d secara langsung di sini, hari ini.


(Satelit MEASAT-3d berjaya ditempatkan di orbit setelah dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas
Eropah Kourou)

Satelit MEASAT-3d merupakan satelit kelapan bagi meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

Terdahulu, satelit MEASAT-3d berjaya ditempatkan di orbit setelah dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana pada pukul 5.50 minit pagi tadi waktu Malaysia.

Dengan pelancaran satelit telekomunikasi baharu itu, Malaysia akan dapat memperkukuh teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Media Baharu