KUALA LUMPUR, 24 Mac- Tindakan kerajaan Afghanistan yang mula melarang golongan wanita mendapatkan pendidikan menimbulkan kebimbangan Malaysia.
Jelas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kerajaan Taliban seharusnya memberi hak sama rata terhadap golongan wanita di Afghanistan sama seperti golongan lelaki untuk belajar di sekolah dan universiti.
"Suatu ketika, kita teruja apabila kerajaan di Kabul mengatakan sekolah dan universiti sudah dibuka dan menggalakkan pelajar, termasuk wanita untuk hadir ke sekolah.Namun beberapa hari lalu, kita lihat ada pengumuman yang seakan-akan tidak menggalakkan pelajar wanita untuk ke sekolah dan universiti."
"Kita sedang mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, namun pendirian kita sentiasa mahu menggalakkan pelajar wanita untuk pergi ke sekolah dan universiti, sama seperti pelajar lelaki," jelas Datuk Saifuddin dalam sidang media di parlimen.
(FOTO AFP)
Tambahnya lagi, pendirian Malaysia selaras dengan kenyataan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mahu kerajaan Taliban memberikan fokus terhadap pembangunan pendidikan yang saksama untuk lelaki dan wanita.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan kerajaan Taliban menutup semula sekolah untuk remaja perempuan beberapa jam selepas ia dibuka, dan mengarahkan supaya remaja perempuan di negara itu untuk terus berada di rumah.