fb fb fb fb fb

Malaysia MADANI pacu kesejahteraan, pulih ekonomi rakyat

Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Keberkesanan dasar Malaysia MADANI semakin jelas apabila pelbagai inisiatif bersasar yang dilaksanakan kerajaan menunjukkan hasil positif, termasuk penurunan kadar inflasi dan peningkatan peruntukan bantuan kepada rakyat.

Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda, pencapaian itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.

"Dasar MADANI bukan sekadar slogan. Ia terbukti memberi impak ketara kepada kehidupan rakyat, terutamanya dalam aspek kos sara hidup yang semakin mencabar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Senator Hasbie menjelaskan bahawa, kadar inflasi negara yang pernah mencecah 4.7 peratus pada Ogos 2022 telah berjaya diturunkan kepada hanya 1.1 peratus pada Jun 2025, manakala inflasi makanan sekitar 2.2 peratus, jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tambah beliau, penambahbaikan dalam program Bantuan MADANI, khususnya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini menyaksikan peruntukan meningkat dua kali ganda daripada RM8 bilion pada 2023 kepada RM15 bilion tahun ini, wajar diberikan pujian.

“Bantuan seperti SARA, walaupun maksimum RM200 sebulan, memberi impak besar kerana ia hanya boleh digunakan untuk barangan asas seperti makanan, ubat-ubatan, kebersihan diri dan keperluan persekolahan. Ini menunjukkan ia benar-benar bersasar dan menepati keperluan rakyat,” katanya.

Senator Hasbie turut menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan demi kestabilan politik dan keyakinan pelabur asing. Beliau menegaskan bahawa tindakan sesetengah pihak membuat perhimpunan dan demonstrasi baru-baru ini boleh menjejaskan imej negara serta melemahkan daya tarikan pelaburan.

“Kita faham hak berhimpun adalah sebahagian daripada demokrasi, tetapi biarlah dilakukan secara bertanggungjawab. Kestabilan politik dan persepsi positif terhadap kepimpinan negara adalah kunci kepada kemakmuran jangka panjang,” tegas beliau ketika ditemui media selepas program Selamat pagi Malaysia di Angkasapuri.

Jelas beliau, Malaysia MADANI bukan sahaja memperkukuh dasar bantuan bersasar, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membina negara yang inklusif, sejahtera dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN