fb fb fb fb fb

Ibu dan bayi maut dalam kemalangan di Dungun

Foto RTM

DUNGUN, 27 Julai – Seorang wanita dan bayi perempuan berusia 18 bulan maut , manakala empat yang lain cedera selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kilang Kelapa Sawit Felda Kerteh 2 dan 3, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.24 petang itu, mangsa Nur Suhailla Azman, 25, maut di lokasi akibat kecederaan parah di leher dan badan, manakala anak bongsunya, Nur Alisya Humaira Mohamad Shahrool Nizam, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Nenek mangsa, Timah Mohammad, 73, turut mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Dungun.

Tiga lagi mangsa iaitu Mohammad Sharol Nizam Hamzah, 32; Ruzaimi Abd Rashid, 48; serta anak sulung Suhailla, Nur Aisya Humaira, 3 tahun hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang dari Bandar Dungun ke rumah di Felda Kerteh 4.

“Kereta dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter ketika hujan,” katanya ketika ditemui media.

Ujar Maizura, kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala kesemua yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD