fb fb fb fb fb

Malaysia lancar satelit MEASAT-3D Khamis ini

(FOTO FB MEASAT)

KUALA LUMPUR, 21 Jun - Sejarah baharu bakal tercipta apabila Malaysia akan melancarkan satelit MEASAT-3D Khamis ini sekali gus meningkatkan perkhidmatan perhubungan antara negara serantau.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata pelancaran satelit baharu itu membolehkan Malaysia memperkukuhkan era digital berteraskan teknologi talian tetap mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Katanya, dengan pelancaran satelit itu, beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos ini.

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

"Penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit ini untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada 3.0 hingga 5.0 peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar, seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW," kata Annuar menerusi kenyataan.

Tambah Annuar, selaras dengan inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), MEASAT-3d dapat merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Pelancaran satelit kelapan itu akan dilakukan di French Guiana, Amerika Selatan pada pukul 5.03 pagi waktu tempatan.

Satelit MEASAT-3D mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar pantas dan menyokong aliran tinggi data.

Media Baharu