fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan Israel di Lubnan

Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 26 September- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel di Lubnan yang telah meragut lebih 600 nyawa dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang dahsyat.

Menurut Wisma Putra, Malaysia menyeru agar konflik itu dihentikan serta-merta bagi mengelakkan peningkatan ketegangan di rantau tersebut.

"Sebagai tanda sokongan terhadap usaha diplomatik untuk menamatkan konflik ini, Malaysia mengalu-alukan Kenyataan Bersama 25 September 2024 oleh Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, dan Qatar yang menggesa gencatan senjata segera, selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 1701 (2006).

"Malaysia dengan tegas menekankan keperluan pelaksanaan Resolusi UNSC 2735 (2024) bagi menamatkan segera pembunuhan beramai-ramai dan malapetaka kemanusiaan di Gaza," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Malaysia menegaskan komitmennya untuk mempromosikan keamanan, dialog, dan kerjasama dalam usaha mencapai keadilan, keselamatan, dan keamanan antarabangsa.

Malaysia juga akan terus menyokong semua usaha ke arah mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik yang sedang berlangsung.

BERITA BERKAITAN:

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM