fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk sekeras-kerasnya kekejaman berterusan rejim Zionis di Gaza

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Malaysia mengutuk keras serangan rejim Israel ke atas Hospital Syahid Al-Aqsa dan pengepungan haram di kem Pelarian Jabalia di Gaza.

Wisma Putra menerusi kenyataan, menyifatkan Imej mengerikan mangsa dibakar dalam keadaan masih hidup hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Gaza.

"Imej sedemikian menunjukkan kempen keganasan rejim Zionis Israel, yang jelas bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza.

"Malapetaka kemanusiaan di Gaza telah mencapai tahap yang tidak masuk akal. Namun rejim Zionis Israel terus menerus membuat serangan tanpa henti, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pada masa yang sama menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian aman," menurut kenyataan tersebut.

Wisma Putra turut memaklumkan, Malaysia mengulangi desakan negara agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera.

"Kegagalan untuk bertindak menghentikan kekejaman ini merupakan persekongkolan dan mengancam sebarang harapan bagi mencapai keamanan.

"Malaysia menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan oleh Piagam dengan memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya, serta menegakkan keutuhan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang.

"Malaysia akan terus menyampaikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya," menurut Wisma Putra.

Tambah kenyataan itu, sokongan penuh Malaysia terhadap Palestin juga melibatkan usaha mereka untuk menjadi anggota penuh PBB. Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah, dan keadilan, dan akan terus memperjuangkan hak mereka di pentas global.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE