SEREMBAN, 17 Oktober - Negeri Sembilan menerima 58 permohonan bagi pembinaan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (DTRC) di bawah Program Sejati Madani.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata daripada jumlah tersebut, 44 permohonan diluluskan dengan peruntukan kira-kira RM4.2 juta.
"Program Sejati Madani di bawah Kluster Alam Sekitar Negeri Sembilan telah menerima 58 permohonan daripada komuniti dan beberapa organisasi di seluruh negeri untuk tujuan pembinaan DTRC. 44 daripadanya diluluskan melibatkan daerah Seremban, 17 (Tampin), 5 (Kuala Pilah), 5 (Rembau), 3 (Jempol), 6 (Port Dickson) dan 4 (Jelebu) melibatkan peruntukan berjumlah RM4.2 juta," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran DTRC di Balai Penghulu, Mantin.
Ujarnya, DTRC merupakan inisiatif berkonsepkan mesra pengguna untuk memudahkan masyarakat menghantar sisa kitar semula yang telah diasingkan.
DTRC juga menyediakan kemudahan pengumpulan sisa makanan sekali gus memberi peluang kepada masyarakat menjana pendapatan dan merancakkan peralihan ekonomi kitaran.