fb fb fb fb fb

Malaysia kukuh di pentas antarabangsa, suara kemanusiaan dan pemacu ekonomi serantau

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Malaysia kini dilihat berada pada kedudukan yang kukuh di pentas antarabangsa, bukan sahaja sebagai suara lantang dalam memperjuangkan isu kemanusiaan global, tetapi juga sebagai pemacu utama ekonomi serantau yang semakin berpengaruh di Asia Tenggara.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid, berkata Malaysia berjaya mengekalkan pendirian berprinsip dalam isu-isu global tanpa menjejaskan hubungan diplomatiknya dengan negara lain.

“Walaupun Malaysia berkecuali dalam menyentuh isu-isu pentadbiran dalaman sesebuah negara, akan tetapi ia tidak menghalang daripada Malaysia untuk memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas di dalam konflik kemanusiaan melibatkan isu Palestin Israel, isu etnik Rohingya di Myanmar.

"... dan isu-isu melibatkan kemiskinan di rantau Asia Tenggara dan isu-isu melibatkan perubahan geopolitik di dunia pada hari ini", katanya kepada RTM secara maya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Elya Nabila Abdul Bahri, berkata peranan Malaysia turut menyerlah melalui kepimpinan dalam ASEAN, terutama menjelang penganjuran ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.

“Malaysia juga menjadi satu tumpuan dunia dan ini juga telah mengangkat reputasi Malaysia kepada dunia dan global dan kalau kita lihat Malaysia sendiri mempunyai matlamat dan juga pelan strategi untuk menjadikan hab kepada salah satu sektor yang berpotensi iaitu sektor semikonduktor di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Nasional.

"Terdapat lagi satu matlamat yang lain dimana Malaysia ingin menjadi satu hub halal berbanding dengan negara ASEAN yang lain”, katanya kepada RTM di Angkasapuri, Kota Media.

Kedua-dua penganalisis turut bersetuju bahawa pendekatan Malaysia yang berdasarkan prinsip, keseimbangan dan strategi ekonomi berimpak tinggi menjadikan negara ini terus dihormati serta berdaya saing di peringkat global, seiring aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masa depan yang inklusif dan mampan.

ROSLINA BINTI DIN