JOHOR BAHRU, 31 Oktober - Kebanyakan pengguna kenderaan yang layak mendapat BUDI MADANI RON95 menzahirkan kesyukuran kerana program berkenaan berjaya membantu mengurangkan perbelanjaan minyak bulanan masing-masing.
Tinjauan di sekitar Johor Bahru mendapati, pengguna memanfaatkan kuota 300 liter petrol sebulan dengan sebaiknya.
Tidak kurang ada yang mencadangkan kuota berkenaan ditambah, terutama kepada mereka yang menempuh jarak laluan jauh ke tempat kerja.
Seorang penjawat awam Razani Abd Rauf mencadangkan kuota sekarang ditambah kerana ia hanya cukup untuk perjalanannya dari rumah ke tempat bertugas yang terletak di Pasir Gudang.
"Saya bekerja jarak jauh, tinggal di Kota Tinggi dan bertugas di Pasir Gudang. Penggunaan hanya cukup untuk bekerja, tetapi kalau lain tu, sendirilah maksudnya. Jadi kalau boleh, kerajaan boleh tambah lagi, lebih baik," katanya.
Sementara itu pesara Mohd Hashim berkata kuota 300 liter mencukupi baginya.
"300 liter itu mencukupi untuk kegunaan harian dan apapun mengikut pandangan dan tinjauan orang ramai, jadi BUDI 95 ini bagus dan patut diteruskan dan ditambah baik," ujarnya.
Manakala usahawan Khairudin Hamid berpendapat, kuota 300 liter tidak cukup untuk penggunaannya.
"Secara purata, pada saya kegunaan yang selalu bergerak ke beberapa tempat, 300 liter tidak cukup. Setakat purata, pada 20 hari bulan sudah habis kuota. Jadi kita minta kalau boleh kerajaan untuk pertimbangkan penambahan daripada kuota minyak itu," kata Khairudin.
Seorang suri rumah Siti Nur Hidayah pula berkata, penggunaan petrol tersebut cukup baginya kerana tidak memerlukan pergerakan yang jauh dari kawasan yang dituju.
BUDI MADANI RON95 yang mula dilaksanakan awal bulan ini, menawarkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat bagi mengelak berlakunya ketirisan.