fb fb fb fb fb

Malaysia, komuniti antarabangsa terus kerjasama perangi sentimen Islamofobia di Sweden - Zambry

(FOTO HIASAN)

SEPANG, 24 Januari - Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi memerangi sentimen Islamofobia dan ektremisme.

Mengutuk insiden kebencian terang-terangan terhadap Islam di Stockholm, Sweden, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tindakan keji itu jelas melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara.

(Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir)

"Masalah dalaman Sweden dengan sebuah negara yang lain yang tidak sewajarnya membawa agama menjadi faktor pertikaian antara negara.

"Ini jelas menunjukkan satu tindakan yang bersifat ganas, extreme, barbarik, yang tidak dapat terima oleh mana-mana manusia ataupun negara yang bertamadun yang perlu menghormati dari segi kebebasan agama," katanya.

Mengulas tindakan pemimpin parti pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di luar kedutaan Turkiye di Stockholm, Sabtu lalu, Datuk Seri Dr Zambry menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampaui batas persefahaman serta tidak menghormati kehidupan beragama.

Malah katanya, perbuatan seumpama itu pasti tidak dapat diterima mana-mana negara bertamadun.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menggesa pemerintah Sweden mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif ahli politik pelampau itu.

Tegasnya tindakan biadab Paludan perlu dibantah kerana telah menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara dengan membakar kitab suci agama Islam.

"Saya menyeru seluruh masyarakat menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai-nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Dr. Mohd Naim, kenyataan Perdana Menteri semalam yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Paludan telah membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia.

Media Baharu