KUALA LUMPUR, 31 Januari - Malaysia terus komited menyertai usaha komuniti global untuk menamatkan Penyakit Tropika Terabai (NTD) dan membebaskan generasi akan datang daripada penyakit kemiskinan.
Justeru menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pencahayaan dua struktur ikonik, Menara Kuala Lumpur dan Pintasan Saloma adalah solidariti Malaysia sempena Hari Penyakit Tropika Terabai Sedunia ketiga yang disambut setiap tahun pada tanggal 30 Januari.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, Malaysia terlibat buat kali kedua dalam sambutan NTD Sedunia, dengan fokus utama memerangi Denggi.
"Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran termasuk ceramah daripada pakar kesihatan serta penyampaian maklumat berkenaan NTD kepada masyarakat dalam usaha menghapuskan NTD secara menyeluruh,'katanya dalam kenyataan media sempena Hari NTD Sedunia yang disambut pada 30 Januari setiap tahun.
Penyakit NTD merangkumi 20 jenis penyakit termasuk Denggi, Chikungunya, Chagas dan Ulser Buruli.
Ia boleh memberi kesan terhadap kualiti kehidupan seharian serta menghalang perkembangan kognitif dan fizikal mereka yang menghidapinya.
Bagaimanapun, NTD merupakan penyakit yang boleh ditangani.
Ini terbukti apabila 43 negara berjaya menghapuskan sekurang-kurangnya satu penyakit NTD.
Hasilnya, seramai 600 juta penduduk dunia juga sudah tidak memerlukan rawatan bagi penyakit NTD.