fb fb fb fb fb

Malaysia komited perkukuh hubungan dua hala dengan Rusia

Masih banyak potensi pelaburan, kerjasama boleh diteroka

MOSCOW, 14 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia, termasuk dalam bidang teknologi, keselamatan makanan, tenaga, pertahanan dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam sidang media bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, beliau menyatakan bahawa hubungan antara kedua-dua negara adalah baik, namun masih banyak potensi pelaburan dan kerjasama yang boleh diterokai.

“Kami telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Presiden dan pentadbirannya, meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan, keselamatan makanan, teknologi siber, tenaga dan pertahanan,” katanya.

Malaysia amat menghargai sokongan Rusia dalam beberapa aspek, antaranya latihan aeroangkasa, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta AI digital yang dilihat sebagai tanda kepercayaan Rusia terhadap Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai.

Turut disentuh mengenai keperluan mempercepatkan tindakan susulan melalui Suruhanjaya Bersama dan jawatankuasa-jawatankuasa berkaitan, khususnya dalam sektor minyak, gas dan petrokimia.

 

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN