fb fb fb fb fb

Malaysia komited lindungi hak pekerja warga Indonesia

(FOTO BERNAMA)

BOGOR, JAWA BARAT, 9 Januari - Malaysia akan memastikan Pengambilan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui kenyataan bersamanya di Istana Bogor berkata, Malaysia komited memberi perlindungan kepada warga republik itu yang bekerja di Malaysia tanpa menjejaskan hubungan dua serumpun.

“Isu pekerja, pekerja asing Indonesia, saya sedar. Insya-Allah kita akan mengelak isu yang boleh merenggangkan hubungan kita, kerana saya mahu hubungan Malaysia-Indonesia kekal dalam kategori istimewa.

"Saya harap menteri luar kita faham perkara ini," kata Anwar pada majlis kenyataan bersama di Istana Bogor yang turut dihadiri delegasi menteri dari kedua-dua negara, termasuk Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi.

Pemimpin 75 tahun itu juga menyentuh isu layanan terhadap pekerja asing tanpa izin dalam tahanan Malaysia yang dilihat menyakiti perasaan warga Indonesia.

“Saya tahu betul kerana saya pernah mengalami pengalaman berada di penjara yang sama (dengan pendatang) dan saya mendengar pada masa itu bunyi bagaimana mereka disebat, dan saya tidak percaya ini sesuatu yang berperikemanusiaan.

“Alhamdulillah untuk tahun ini dan tahun lepas amalan sebat telah ditamatkan, namun itu bukan jalan penyelesaiannya,” tambahnya.

Dalam pertemuan empat mata di Istana Bogor, beliau turut berbincang bersama presiden Jokowi akan kemajuan dalam rundingan pembatasan sempadan darat dan maritim di antara kedua-dua negara.

Terdahulu, pertemuan bersejarah itu berlangsung pada pukul 10 pagi di Istana Bogor, Jawa Barat.

Anwar diberikan sambutan permaidani merah dan kawalan kehormat.

Beliau disambut Jokowi sebaik tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi presiden.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam.

Kemudian, Anwar sambil diiringi Jokowi, memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.

Dalam pertemuan itu kedua-dua mereka menaiki buggy mengelilingi kebun raya bogor yang seluas 87 hektar, iaitu terdapat 15, 000 jenis pokok dan juga tumbuhan.

Anwar dibawa untuk menikmati keindahan Kebun Raya Bogor yang usia kebunnya sudah mencecah 205 tahun, sekali gus menjadi taman botani tertua di dunia.

Sejurus itu, Presiden Jokowi mengadakan pertemuan khas dalam sesi bersembang di beranda Istana Bogor, turut dikenali sebagai Veranda Talk bersama Perdana Menteri.

Lawatan ke Indonesia merupakan kunjungan rasmi pertamanya sejak Anwar menjadi perdana menteri November tahun lalu.


(Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (kiri) dan Presiden Jokowi (kanan) selepas sidang
media bersama di Istana Bogor/FOTO BERNAMA)

Media Baharu