fb fb fb fb fb

Malaysia komited dalam menangani isu perubahan iklim

Sultan Mizan Zainal Abidin

BANGI, 14 Mei- Malaysia komited dalam menangani isu kebimbangan global khususnya perubahan iklim dan memastikan perlindungan serta penilaian berterusan terhadap pelbagai kesan alam sekitar di benua Antartika.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) bertitah, kedudukan Malaysia di tangga ke-36 daripada 200 negara dalam penerbitan kertas saintifik merupakan bukti pencapaian dan sumbangan dalam memahami keadaan bumi.

"Beta ingin menekankan bahawa untuk penyelidikan berkembang maju di Antartika, kita mesti mempunyai rangka kerja dasar yang merangkumi peruntukan tahunan untuk menyokong usaha penyelidikan Antartika kita secara berterusan.

"Dengan peningkatan minat penyelidikan dalam perubahan iklim yang berkaitan dengan kawasan kutub, dana penyelidikan mampan adalah penting untuk mengukuhkan program penyelidikan kutub," titah baginda ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia (MISA) ke-10 di sini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin turut hadir ke majlis itu.

Pada majlis itu, Sultan Mizan turut berkenan menganugerahkan geran penyelidikan berjumlah RM800,000 kepada tujuh penyelidik melalui kerjasama inisiatif perkongsian pintar antara YPASM dan 10 universiti tempatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI