fb fb fb fb fb

Malaysia kini bebas tuntut kerugian dilakukan Sulu - Peguam

Pemandangan di negeri Sabah/susankoo

KUALA LUMPUR, 7 September- Keputusan Mahkamah Agung Belanda yang menolak rayuan pihak Kesultanan Sulu dalam kes tuntutan ke atas Sabah memberi kemenangan penting kepada Malaysia.

Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Fakhrul Azman Abu Hasan berkata dengan keputusan ini, Kerajaan Malaysia tidak lagi perlu membayar RM14.9 bilion yang diperintahkan sebelum ini.

"Keputusan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dan menutup salah satu saluran utama tuntutan Sulu. Malaysia kini bebas untuk mengambil tindakan terhadap kerugian yang dilakukan oleh waris Sulu sejak 2018," katanya

Sementara itu peguam Faiz Kamal Jaafar berkata keputusan berkenaan jelas menoktahkan tuntutan tidak berasas pihak terbabit.

"Keputusan ini mengukuhkan kedaulatan Malaysia dan menunjukkan bahawa negara kita mempunyai undang-undang yang kukuh.

"(Sehubungan itu) saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Malaysia, khususnya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan pasukan undang-undangnya. Usaha mereka dalam memperoleh kemenangan ini amat dihargai," katanya.

Semalam Azalina memaklumkan kerajaan meraih kemenangan penting apabila Mahkamah Agung Belanda menolak rayuan pihak Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Ia sekali gus menamatkan cubaan pihak Sulu untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA