fb fb fb fb fb

Malaysia kesan empat kes jangkitan COVID-19 varian XBB

(Foto fail RTM)

PUTRAJAYA, 31 Oktober- Empat kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian XBB telah dikesan di negara ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kes melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun dari Selangor dan Negeri Sembilan.

Semua kes tersebut melibatkan kategori dua dengan mengalami gejala demam dan batuk sederhana.

Hanya satu kes merupakan kes jangkitan semula dan semua kes terbabit telah menjalani isolasi tujuh hari, manakala semua kontak rapat juga telah dikenal pasti.

"Kita berpandangan bahawa trend ini masih lagi didorong oleh jangkitan daripada varian Omicron dan kita mengesyaki bahawa yang mendorong kenaikan ini adalah daripada sub varian XBB yang telah pun menjadi punca kepada gelombang di Singapura baru-baru ini.

"Singapura baru melalui satu gelombang XBB yang telah ambil masa dalam tiga hingga empat minggu untuk menurun dan barang kali kita juga berdepan dengan jangkitan yang merebak daripada XBB," katanya.

(Khairy Jamaluddin) 

Beliau bercakap dalam sidang media khas perkembangan terkini COVID-19, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kes baharu COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan dengan 16,917 kes dari 23 hingga 29 Oktober lalu, berbanding 14,520 kes pada minggu lepas.

Tambah Khairy, meskipun kemasukan ke hospital awam akibat wabak tersebut meningkat sehingga 14 peratus, namun pesakit tidak mengalami gejala serius.

Media Baharu