fb fb fb fb fb

Malaysia kenal pasti pertumbuhan hijau, strategi laksana SDG

GOMBAK, 8 Ogos- Malaysia mengenal pasti pertumbuhan hijau sebagai strategi untuk melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta menangani perubahan iklim dan cabaran alam sekitar di rantau Asia Tenggara.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu antara lain sebagai usaha mempromosikan tema Pertumbuhan Mampan Serantau bagi memperingati Hari ASEAN ke-56.

Pada masa sama, selari dengan hasrat ASEAN untuk menyokong keamanan global, keselamatan, kemakmuran dan pembangunan mampan terutamanya dalam aspek kitaran ekonomi serantau.


(Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir)

"Dalam konteks ini, kita mesti memastikan bahawa naratif pertumbuhan kita merangkumi prinsip kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama. Pertumbuhan kita seharusnya bukan sahaja menjadi kisah kejayaan ekonomi, tetapi juga pemeliharaan budaya, perlindungan alam sekitar, dan keadilan sosial", katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari ASEAN ke-56 di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.

Dalam ucapannya, beliau turut berharap seluruh negara anggota ASEAN berganding bahu merealisasikan komuniti ASEAN yang bersatu padu, bersepadu serta bertanggungjawab dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

ASEAN yang dianggotai 10 negara termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam dan Indonesia melambangkan kekuatan dalam kepelbagaian kerana berbeza dari segi sistem pemerintahan, tahap pembangunan ekonomi, fabrik sosial, budaya dan agama.

Justeru, ASEAN harus menjadi kuasa yang tidak boleh dinafikan pengaruhnya atas nama keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Media Baharu