fb fb fb fb fb

Pesawah tarik nafas lega kenaikan SSHP

(Foto BERNAMA)

PARIT BUNTAR, 8 Ogos- Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP), dinaikkan daripada RM360 per tan kepada RM500 ringgit per tan bermula esok disifatkan 'kelegaan' kepada pesawah yang terkesan dengan peningkatan kos pengeluaran padi.

Berita baik buat golongan pesawah itu diumum Anwar pada Majlis Sentuhan Agro Madani Negeri Perak.

Menurut perdana menteri, peningkatan itu bakal melibatkan perbelanjaan RM1 bilion setahun.

Bagi menyelesaikan masalah pemutuan padi, Anwar berkata perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan dilaksana bagi menempatkan pegawai pertanian di kilang padi swasta khusus bagi memantau proses tersebut.

Keperluan itu bagi mengelak pengilang bertindak tanpa mengikut standard ditetapkan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia satu berita gembira buat golongan pesawah.

"Bagi saya ini satu pengumuman yang besar, kita mendengar keluhan pesawah yang begitu lama. Dan hari ini keluhan mereka itu dapat ditunaikan," katanya.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata pesawah gembira dengan pengumuman itu.

"Penerima kebanyakan golongan pesawah gembira dengan pengumuman perdana menteri itu. Ia dilihat sebagai satu satu pemberian dan penghargaan kepada pesawah.

Pengurus Besar PPN Perak, Mohd Shakran Shamsudin pula berkata SSHP dapat membantu pesawah dan dapat mengurangkan tekanan kepada golongan tersebut.

"SSHP dapat membantu pesawah kerana pada waktu ini kos semakin meningkat dalam pengeluaran, dengan adanya bantuan tersebut, maknanya dapat mengurangkan tekanan kepada para pesawah," katanya.

Para pesawah di Kedah, Ibrahim Man, Asmunir Ibrahim, Azhar Ahmad dan Abd Rahman Md Zain turut menyambut baik pengumuman kenaikan kadar SSHP tersebut.

"Saya sebagai pesawah cukup bersyukur dengan pengumuman perdana menteri. Semoga perdana menteri dipanjangkan umur dan dapat menjayakan hasrat pesawah-pesawah," kata Ibrahim.

"Kita berasa bersyukur dan dapat menarik nafas lega, diharap dengan bantuan kenaikan harga subsidi padi ini dapat membantu para pesawah menjalani kehidupan seharian," kata Asmunir.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani kerana prihatin kepada para pesawah. SSHP dapat meringankan beban pesawah daripada sudut kewangan dan sama-sama kita menikmati apa yang kerajaan hasratkan untuk pertanian dan kerajaan tidak melupakan kudrat pesawah yang menghasilkan padi sumber makanan negara kita, terima kasih kerajaan Madani," kata Azhar.

"Kenaikan subsidi itu dapat meringankan beban para pesawah, dengan kenaikan harga racun dan sebagainya. Terima kasih kerajaan kerana memberi insentif kepada kami," kata Abd Rahman.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu