fb fb fb fb fb

Malaysia kekal kompetitif dalam industri semikonduktor

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan sebelum merasmikan Forum Khazanah Megatrend 2024, di Kuala Lumpur / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Malaysia kini beralih daripada menjadi pemain utama dalam industri pembuatan elektrik dan elektronik global kepada penerapan teknologi dan amalan mampan bagi memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peralihan ini selaras dengan usaha untuk memastikan Malaysia kekal relevan di tengah-tengah permintaan tinggi terhadap cip-cip canggih, terutama yang diperlukan untuk kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan pemanduan autonomi.

“Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP) kita mesti cukup fleksibel untuk membuat penyesuaian yang diperlukan dalam menghadapi ketidaktentuan kuasa pasaran, sambil mengambil kira faktor geopolitik dan geo-ekonomi,” katanya ketika berucap di  Forum Khazanah Megatrends 2024, di sini.

Anwar turut menekankan, di bawah pelan NIMP 2030, Malaysia akan terus mengikuti perubahan pasaran dan faktor geopolitik bagi memastikan industri pembuatan negara kekal kompetitif.

Pada masa yang sama, usaha turut diambil untuk memelihara kemampanan alam sekitar seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN