
KUALA LUMPUR, 3 April– Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang meluluskan undang-undang baharu bagi mengenakan hukuman mati mandatori di wilayah Palestin yang diduduki serta terhadap rakyat Palestin.
- Perundangan baru diskriminasi terhadap rakyat Palestin, melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva Keempat.
- Kebimbangan mendalam terhadap pencabulan hak di pusat tahanan: penderaan, penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan, dan kebuluran terancang.
- Desakan agar masyarakat antarabangsa bertindak tegas, berprinsip dan kolektif bagi memastikan akauntabiliti serta menamatkan diskriminasi dan penindasan segera.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa perundangan tersebut merupakan satu bentuk deksriminasi terhadap rakyat Palestin dan pencabulan terancang terhadap hak asasi manusia.
“Perundangan yang menyasarkan individu berdasarkan etnik dan identiti nasional ini merupakan suatu pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, termasuk Konvensyen Geneva Keempat serta instrumen antarabangsa hak asasi manusia yang berkaitan,” kata kenyataan itu.
Malaysia turut menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap laporan pencabulan hak asasi di pusat tahanan Israel.
Ini termasuk tindakan penderaan berterusan, penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan yang menghina maruah, serta isu kebuluran yang sengaja dicetuskan terhadap tahanan Palestin.
Sehubungan itu, Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa agar segera mengambil tindakan tegas, berprinsip, dan kolektif bagi memastikan akauntabiliti ditegakkan.
Langkah berkenaan penting bagi menjamin undang-undang antarabangsa dihormati, sekali gus menamatkan segala bentuk diskriminasi serta penindasan terhadap rakyat Palestin dengan kadar segera.