fb fb fb fb fb

Malaysia jadi penanda aras urus jemaah, dikecualikan larangan visa Arab Saudi

Malaysia bukti keupayaan urus jemaah, terkecuali larangan visa Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 11 April - Keputusan kerajaan Arab Saudi mengecualikan Malaysia daripada senarai larangan visa sementara bagi memasuki negara itu disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap kewibawaan dan keupayaan kerajaan dalam pengurusan jemaah Haji dan Umrah.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan itu jelas membuktikan sistem pengurusan jemaah dari Malaysia berada pada tahap terbaik selain menunjukkan disiplin tinggi dalam kalangan jemaah negara ini.

"Ia satu pengiktirafan ke atas keupayaan kerajaan Malaysia untuk urus tadbir jemaah yang dianggap baik. Kita tahu perubahan semasa dan persekitaran akan ada cabarannya.

"Tetapi dalam konteks ini, kalau jemaah ambil iktibar daripada keputusan ini, ia akan beri kesan baik kepada jemaah selepas ini.

"Kita harap ia menjadi kayu ukur dan penanda aras kepada keupayaan Malaysia untuk terus menghantar jemaah secara teratur.

"Apatah lagi apabila jemaah menghadiri kursus, ia akan diwar-warkan secara berterusan sebagai satu ukuran terhadap pentadbiran kerajaan Malaysia selama ini," katanya ketika dihubungi RTM baru-baru ini.

Terdahulu, Arab Saudi mengumumkan larangan visa sementara ke atas 14 negara termasuk Indonesia, Bangladesh dan India.

Keputusan itu bagi mengawal perjalanan ketika musim haji serta memastikan keselamatan di kawasan Tanah Suci sentiasa terkawal.

Bagaimanapun, Malaysia tidak termasuk dalam senarai tersebut, sekali gus membuktikan keberkesanan sistem latihan dan kursus kepada jemaah negara ini yang berjaya membentuk disiplin serta pematuhan tinggi terhadap peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

GRACE AISYAH KEDAYAN