fb fb fb fb fb

Lelaki Sri Lanka, anjing dipercayai maut terkena renjatan elektrik

Turut ditemui seekor anjing mati di sisi mangsa, dipercayai terkena renjatan elektrik/Foto PDRM

SHAH ALAM, 11 April – Seorang lelaki warga Sri Lanka ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam sebuah premis di Taman Alam Indah, Seksyen 25 di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia 27 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di sebuah stor yang turut dijadikan tempat tinggalnya.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan orang awam mengenai penemuan mayat itu pada pukul 10.51 pagi.

“Siasatan awal mendapati kawasan sekitar premis itu dilanda banjir dan mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Turut ditemui seekor anjing mati di sisi mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau kecederaan lain pada tubuh mangsa.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 bagi membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN