KUALA LUMPUR, 11 April - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dilantik sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ke-15 bagi tempoh sehingga 30 Jun 2026.
Pelantikan itu diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkuat kuasa 7 Mac lalu, selaras peruntukan di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 [Akta 225], Seksyen 4(2) dan 4(3).
Menurut kenyataan UPSI, pelantikan itu diterima secara rasmi melalui surat Istana Negara bertarikh 10 Mac dan diterima MPM pada 17 Mac lalu.
Prof Datuk Dr Md Amin menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar dalam memperkasa sistem pentaksiran dan peperiksaan negara.
“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab. Fokus utama saya adalah memastikan ketelusan, kredibiliti dan kebolehpercayaan sistem peperiksaan negara terus diperkukuh,” katanya.
Beliau juga komited untuk memastikan MPM kekal responsif terhadap keperluan semasa termasuk digitalisasi dan keberkesanan pentaksiran.
Sementara itu, Ketua Eksekutif MPM, Adnan Husin menyifatkan pelantikan Prof Datuk Dr Md Amin sebagai langkah tepat bagi membawa kepimpinan berwibawa serta visi segar ke arah reformasi sistem peperiksaan negara.
“Beliau bukan sahaja tokoh akademik berpengalaman tetapi juga pemimpin progresif yang akan memperkasa integriti dan inovasi dalam pentaksiran pendidikan,” katanya.
Prof Dr Md Amin, 54, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dari UPSI pada tahun 2000; Postgraduate Diploma in Outdoor Education dan Ijazah Sarjana Outdoor Education dari University of Otago, New Zealand pada tahun 2004.
Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falasafah (PhD) dalam Parks and Outdoor Recreation Management dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000.
Beliau berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengurusan dan juga konsultansi dan sudah menerbitkan lebih 120 buah buku, artikel jurnal, prosiding, kertas polisi, laporan jemaah menteri dan artikel akhbar.
Prof Dr Md Amin memulakan karier sebagai Guru Bukan Siswazah pada tahun 1993 hingga 2000.