IPOH, 11 April- Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan hampir RM100,000 pada tahun lepas bagi kerja-kerja menaik taraf Taman Permainan Awam Kampung Baru Coldstream, Bidor dekat Tapah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui penyediaan prasarana selari dengan agenda Perak Sejahtera 2030.
"Kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah RM99,950 pada tahun 2024 untuk kerja-kerja menaik taraf taman permainan ini mengikut garis panduan dasar landskap negara dan garis panduan landskap negara taman.
"Malahan, sebelum itu pada tahun 2023 sebanyak RM70,000 pula telah disalurkan untuk menaik taraf sistem perparitan. Manakala, RM50,000 lagi digunakan untuk kerja-kerja penurapan semula jalan yang rosak", katanya pada Majlis Perasmian Taman Permainan Kampung Baru Bidor.
Taman tersebut yang siap pada Disember 2024 menyediakan ruang riadah kepada komuniti di kawasan tersebut.