KUALA LUMPUR, 11 April – Peranan media dan badan pemikir sebagai pemacu dasar serta pemangkin keharmonian serantau menjadi tumpuan utama dalam Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Majlis berprestij itu telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan menghimpunkan lebih 250 perwakilan merangkumi wakil media, badan pemikir, agensi kerajaan dan sektor swasta dari negara-negara ASEAN dan China.
Dalam ucapan perasmiannya, Fadillah menekankan kepentingan media dan badan pemikir dalam membentuk pemahaman bersama serta menyumbang kepada pembangunan dasar-dasar yang lebih berkesan di peringkat serantau.
“Dalam era yang semakin kompleks ini, media dan badan pemikir memainkan peranan penting dalam merapatkan perspektif, memaklumkan dasar dan mempromosikan keharmonian serantau,” ujar Fadillah.
Fadillah turut menyifatkan forum itu sebagai platform strategik untuk memperkukuh suara ASEAN dalam arena antarabangsa selain menyokong kestabilan dan kerjasama serantau menerusi inisiatif seperti Jalur Sutera Maritim Abad ke-21 – komponen penting dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).
Tahun 2025 turut dilihat sebagai fasa penting dalam hubungan ASEAN-China apabila kedua-dua pihak dijangka memeterai Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China Versi 3.0, yang bakal membuka lembaran baharu dalam aspek perdagangan dan integrasi ekonomi serantau.
Menurut Fadillah, langkah itu memperlihatkan komitmen kukuh terhadap pemantapan pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih menyeluruh dan lestari.
Forum tersebut, tambah beliau, bukan sahaja bertindak sebagai saluran perkongsian idea antara pemikir dan pengamal media, malah mampu menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala yang lebih akrab antara ASEAN dan China pada masa depan.