(Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman meninjau persediaan
operasi masya’ir bersama pengurusan TH di Arafah, Muzdalifah dan Mina)
MAKKAH, 28 Jun - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menjadi negara pertama memilih jadual waktu melontar jamrah di Mina ketika operasi masya’ir nanti.
Secara tidak langsung, ia satu kebaikan kepada Malaysia apabila dapat memilih waktu malam bagi mengelak cuaca panas dan musibah akibat kesesakan jemaah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kemudahan baharu lain juga adalah jemaah tidak perlu lagi mengutip batu melontar di Muzdalifah, sebaliknya akan disediakan pihak muassasah beberapa hari sebelum bergerak ke masya’ir.
"Dan dengan itu kita telah memilih untuk pergi melontar pada waktu malam, iaitu pada pukul 8 malam sehinggalah 10 malam kerana masa itu cuaca agak dingin berbanding keadaan terdedah kepada cuaca panas," kata beliau selepas selepas meninjau persediaan operasi masya’ir bersama pengurusan TH di Arafah, Muzdalifah dan Mina, di sini.
Selain itu sebanyak 17 buah bas disediakan bagi setiap maktab untuk membawa jemaah ketika operasi masya’ir.
Sementara itu, seramai 175 sukarelawan dalam kalangan jemaah haji Malaysia dari lima maktab penginapan dilantik sebagai Sahabat Maktab untuk membantu kelancaran haji
tahun ini.
Menurut Syed Saleh, ia akan membantu petugas TH dan perantaraan antara jemaah dan TH bagi menyelesaikan sebarang isu dan masalah kalangan jemaah sepanjang musim haji.
(Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (tengah) bersama
sukarelawan haji yang dilantik sebagai Sahabat Maktab TH)
" Untuk melengkapkan lagi mutu perkhidmatan kita, kita rasa elok juga ada sahabat-sahabat di kalangan para jemaah haji yang memahami dari segi aspek atau mereka akan melihat dari perspektif jemaah haji.
"Jadi mereka boleh ke depan untuk membantu Tabung Haji, dalam masa yang sama juga apabila Tabung Haji memberi maklumat penerangan kepada sahabat-sahabat maktab ini, mereka pula menjadi perantara untuk menerangkan kepada para jemaah haji," kata beliau.
Sahabat Maktab yang dipilih adalah mengikut kriteria tertentu antaranya muda, bertenaga dan mempunyai kemahiran berkomunikasi selain berlatar belakang bidang perubatan dan agama.
"Beri sumbangan daripada segi tenaga dan membantu jemaah-jemaah haji lain bagi menyelesaikan ibadah haji masing-masing, secara semula jadi tergerak hati untuk turut serta," kata Mohd Khairul Muzammil Ramly.
"Moga dipermudahkan segala urusan oleh Allah dan saya akan bantu sebaik mungkin program dari sini ke Arafah, Mina, Muzadalifah sehingga selesai kerja haji Insya-Allah," menurut Azrin Mazhidi Abdul Manab.
"Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pegawai perubatan jugaklah untuk membantu mereka sebab saya rasa memang tanggungjawab sebagai doktor, sebagai tetamu Allah untuk saling bantu membantu," jelas Noraziah Abd Rahman.