fb fb fb fb fb

Kerajaan pertimbang pengecualian cukai agromakanan, seragam caj pembangunan infrastruktur komunikasi

(Perdana Menteri, datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Kerajaan Persekutuan akan mempertimbang cadangan pengurangan atau pengecualian cukai industri agromakanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut berhubung perkara terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di peringkat negeri.

"Penubuhan jawatankuasa ini bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

"Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza," katanya dalam kenyataan, di sini.

(Kementerian Kewangan akan memperinci cadangan pengurangan cukai industri agromakanan, demikian diputuskan
dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di ibu negara)

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh menteri-menteri kabinet yang berkaitan.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar.

 

Media Baharu