fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Sekuriti Makanan ditubuhkan di peringkat negeri, daerah

(Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan
Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh menteri kabinet yang berkaitan)

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Jawatankuasa Sekuriti Makanan akan ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi dapat diwujudkan di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri dengan 7 inisiatif telah dipersetujui.

"Di bawah inisiatif meningkatkan keluasan tanah, kerajaan negeri akan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 kanun itu, untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

"Memperkasa pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah terbabit kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

"Selain itu, pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara," katanya melalui kenyataan, di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh menteri kabinet yang berkaitan.

Mesyuarat itu diadakan bagi memberi penekanan untuk mengukuhkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperkasa sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, melalui inisiatif kedua, kerajaan negeri juga akan mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, selain mewartakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM terbengkalai serta yang belum dimajukan.

(PBT dikehendaki membantu memudahkan penubuhan reban ayam tertutup bagi
meningkatkan bekalan makanan)


Beliau berkata, di bawah inisiatif keempat, pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada akan dikekalkan selain mewartakan ZIA yang belum diwartakan juga menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan kebenaran merancang pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan lain," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan.

Tambahnya, penetapan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan akan turut dilaksanakan.

Media Baharu