(FOTO FAIL)
PUTRAJAYA, 28 Jun - Sejumlah 16 syarikat dan enam buah kilang berjaya menjimatkan RM26.2 juta nilai penggunaan tenaga setahun sejak 2018.
Ia menerusi program Kecekapan Tenaga Malaysia dan Projek Aplikasi Solar Termal (MAEESTA) di bawah inisiatif Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO).
Perlaksanaan langkah kecekapan dan pemasangan sistem solar termal selama setahun itu berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sepanjang hayat kepada 995,554 tan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pelepasan GHG antara isu dan cabaran negara.
(Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba/Foto BERNAMA)
Justeru pelaksanaan teknologi yang dapat mengurangkan pelepasannya ke alam sekitar adalah dialu-alukan.
"Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi memandang serius GHG sebagai isu dan cabaran negara dan saya gembira untuk berkongsi bahawa pada tahun lepas kami membangunkan polisi teknologi dan inovasi sains negara (NSTIP) 2021 -2030 dengan memperkenalkan konsep sains teknologi inovasi dan ekonomi," kata beliau ketika berucap pada majlis penyerahan sijil penghargaan UNIDO MAEESTA kepada pemain industri, di sini hari ini.
Projek penggunaan termal solar turut melibatkan SIRIM sebagai agensi pelaksana sejajar dengan komitmen kerajaan bagi mewujudkan negara neutral karbon menjelang tahun 2050.