Rom, 3 Julai - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali menyaksikan satu lagi lonjakan penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Itali, menerusi kerjasama strategik antara syarikat tenaga negara, Petronas dengan ENI dalam pembangunan projek Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), serta biokimia.
Menurut Datuk Seri Anwar, projek berkenaan telah pun dimeterai antara kedua-dua syarikat dan kini turut mendapat perhatian syarikat Jepun dan Indonesia, termasuk Pertamina yang bersedia menyertai inisiatif tenaga bersih itu.
“Ini antara projek terbesar serantau yang melibatkan CCUS dan juga biokimia. Ia mencerminkan keyakinan syarikat-syarikat asing terhadap potensi Malaysia sebagai hab teknologi hijau,” katanya.
Projek tersebut dijangka dilancarkan tidak lama lagi dan bakal menjadi antara inisiatif utama serantau dalam usaha memulihkan teknologi hijau dan tenaga lestari, khususnya dalam sektor automotif dan penyimpanan tenaga, seperti bateri kenderaan elektrik (EV).
Perjanjian melibatkan Petronas, ENI, Perodua dan Magnes untuk teknologi bateri EV pula dijangka dimeterai selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Lawatan itu turut membuka ruang kerjasama lebih luas antara ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam meneroka potensi ekonomi hijau, inovasi tenaga bersih, serta pemindahan teknologi rentas sempadan.
Ini sekali gus mengangkat peranan Malaysia sebagai peneraju utama rantau berkenaan dalam peralihan tenaga dan pelestarian alam sekitar, sejajar dengan komitmen negara terhadap agenda perubahan iklim global.