KOTA KINABALU, 3 Julai - Tabung Haji (TH) disaran mempertimbangkan permohonan menunaikan ibadah haji, khususnya melibatkan jemaah yang mempunyai mahram bersedia untuk menemani pasangan atau ahli keluarga ke Mekah.
Cadangan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin itu sebagai maklum balas terhadap usaha TH dalam membantu umat Islam di Sabah, terutama pemohon yang telah lama menunggu giliran.
"Saya mohon agar diberikan keutamaan kepada mereka yang telah lama menunggu, terutama yang telah menerima tawaran tetapi terpaksa menangguhkan pemergian. Mungkin mahram mereka kini sudah bersedia untuk menemani. Berikanlah peluang kepada jemaah yang mempunyai mahram. Kadang-kadang kita lihat ada suami dan isteri yang terpaksa pergi berseorangan suami tinggal isteri, atau isteri tinggal suami. Jika boleh, benarkan mereka menunaikan haji bersama-sama mahram," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Simulasi Haji Cilik Tabika KEMAS Peringkat Parlimen Kimanis 2025.
Datuk Mohamad memberitahu, program kerjasama KEMAS daerah Papar bersama TH harus diperhebat dengan matlamat memberi pendedahan awal bermula usia muda.
Ia mampu membawa hasil signifikan terhadap pelajar, memupuk minat dan niat untuk menjadi salah seorang jemaah haji.
Seramai 117 kanak-kanak dari 29 Tabika KEMAS seluruh Parlimen Kimanis, menyertai program berkenaan.