fb fb fb fb fb

Malaysia-Itali percepat kerjasama PETRONAS-ENI

Foto Facebook PM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Malaysia, Itali sepakat dalam mempercepat dan memuktamadkan kerjasama antara PETRONAS dengan syarikat tenaga Itali, Eni S.p.A (ENI) dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan bersama Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni itu dicapai menerusi panggilan telefon.

Menurut Datuk Seri Anwar, hubungan antara Malaysia, Itali juga akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara, selain menyatakan kesediaan Kuala Lumpur menyambut ketibaan Meloni awal tahun depan bagi memuktamadkan perjanjian strategik tersebut.

"Dalam panggilan telefon bersama Meloni, beliau memaklumkan sebab ketidakhadiran ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berikutan keperluan mendesak di Rome, dalam merangka serta menggubal undang-undang berkaitan belanjawan serta perbincangan yang berlaku di peringkat Kesatuan Eropah.

"Saya maklumkan bahawa Malaysia memahami sepenuhnya keutamaan dan keperluan domestik yang menuntut tumpuan penuh Meloni ketika ini," katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas pendirian Itali yang terus mendukung seruan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat di Gaza.

"Ia satu suara hati nurani yang amat diperlukan di pentas dunia saat ini," katanya menerusi perkongsian di Facebook rasmi, hari ini.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID