JAKARTA, 1 April- Malaysia dan Indonesia akan terus bersama memperkasa Bahasa Melayu yang berkemungkinan akan dijadikan sebagai Bahasa ASEAN suatu hari nanti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua negara sepakat untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di setiap persidangan antarabangsa.
Jelas beliau, Bahasa Melayu digunakan secara meluas di Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand, Kemboja dan Filipina.
"Kita berterima kasih kepada 'Bapak Presiden', kerana bersetuju dengan Malaysia untuk memperkasakan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun,” katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Istana Merdeka, di sini.
(Ismail Sabri dan Joko Widodo dalam sidang media bersama di Istana Merdeka)
Menyentuh isu serantau, Ismail Sabri berkata kedua-dua negara bersetuju isu Rohingya perlu diselesaikan secara dalaman oleh kerajaan Myanmar sendiri.
Menurutnya, ia adalah isu besar memandangkan ketika ini terdapat 200,000 orang pelarian Myanmar Rohingya di Malaysia.