KUALA LUMPUR, 27 Januari- Perkembangan positif antara Malaysia dan Indonesia membuktikan keunikan serta keistimewaan hubungan erat kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha mempertingkat ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
"Ini menunjukkan keistimewaan dan keunikan persahabatan serta hubungan yang tidak berlaku di antara mana-mana negara lain.
"Tentunya, kita mempunyai sejarah yang sangat dekat, bahasa, budaya, dan juga kedekatannya daripada segi sempadan yang sama.
"Oleh itu, kita harus tingkatkan bidang ekonomi, perdagangan, kebajikan, serta investasi pelaburan dan kita kembangkan ke bidang pendidikan, penyelidikan, teknologi, makanan, industri dan tenaga.
"Kedua-dua negara juga sudah bersetuju untuk memanfaatkan segala kekuatan yang ada, termasuk dalam bidang pertahanan," katanya pada Sidang Media Khas Bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Perdana Putra di sini.
Menurut Anwar, Prabowo turut menerima anugerah tertinggi Istana Johor sebagai tanda penghargaan persahabatan dan kekeluargaan yang sedia terjalin antara Prabowo dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.