fb fb fb fb fb

JPJ cadang wujud pasukan tindakan khas

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli/ BERNAMA

KUANTAN, 27 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk mewujudkan pasukan tindakan khas dibarisi anggota yang dilatih khusus.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perbincangan terperinci akan dilaksanakan sebelum cadangan tersebut dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Fungsi pasukan tersebut adalah untuk membantu risikan, menjalankan operasi khas serta membantu JPJ negeri menyelesaikan kes-kes kritikal.

"Pasukan ini akan ditempatkan di ibu pejabat JPJ dan mereka akan menjalankan tugas berbeza daripada penguatkuasaan dan membantu untuk isu yang lebih kritikal, yang yang lebih sukar untuk dikendalikan oleh JPJ negeri. Jadi bila ada isu, masalah yang sukar dilaksanakan oleh negeri, ibu pejabat akan ambil alih yang itu, sebab di JPJ kita masih tidak mempunyai pasukan seperti itu.

"Pasukan Tindakan Khas ini dianggotai oleh anggota-anggota JPJ yang kompeten, yang diberi latihan yang berbeza berbanding latihan anggota penguasa yang lain", katanya dalam sidang media sempena Lawatan Kerja ke Pejabat JPJ Pahang, di Kuantan.
 
Tambahnya, cadangan itu adalah inspirasi daripada JPJ Pahang yang telah membuat demonstrasi berkaitan satu pasukan khas membantu pasukan penguatkuasaan JPJ Pahang.

Turut hadir Pengarah JPJ Negeri Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
 
Sementara itu, dalam perkembangan lain, katanya pihak JPJ masih meneliti berkaitan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemeriksaan kenderaan elektrik (EV).
 
Buat masa ini katanya, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) boleh mengguna pakai spesifikasi teknikal pemeriksaan kenderaan biasa terlebih dahulu sebelum SOP baharu dikeluarkan oleh pihak kejuruteraan automotif JPJ.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 22,252 notis dikeluarkan terhadap kenderaan dan pemandu menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 dalam tempoh seminggu bermula 20 Januari lepas di atas pelbagai kesalahan.

Menerusi operasi khas itu, sebanyak 100,534 kenderaan telah diperiksa dengan 223 kenderaan telah disita.

Kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 4,313 kes diikuti lebih muatan (653 kes), tidak memakai topi keledar atau tali pinggang (593 kes), tidak mematuhi isyarat lampu merah (279 kes) dan menggunakan telefon bimbit merekodkan 127 kes.  
 
JPJ juga katanya, telah melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di depoh serta terminal dengan 2,604 bas telah diperiksa.
 
Sebanyak 60 kenderaan bas telah dikenakan tindakan dengan 61 notis dikeluarkan antaranya melibatkan kesalahan utama, iaitu memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua.

ROSLINA BINTI DIN