KUALA LUMPUR , 27 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto tiba di Menara Berkembar Petronas (KLCC) sekitar pukul 2.26 petang tadi bagi menghadiri pertemuan tertutup.
Pertemuan yang masih berlangsung lebih satu jam itu difahamkan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta membincangkan isu-isu global yang melibatkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Terdahulu, Prabowo bersama delegasinya tiba di Malaysia pada pukul 5.50 pagi melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, sebelum diberikan istiadat sambutan negara.
Prabowo turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sebelum diraikan dalam Majlis Jamuan Negara sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia atas undangan baginda serta Perdana Menteri.
Selain hubungan erat sebagai negara jiran, Malaysia dan Indonesia turut memainkan peranan penting dalam ASEAN, yang dijangka turut menjadi antara agenda utama dalam perbincangan kali ini.
Turut hadir dalam mesyuarat tertutup itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan, serta beberapa menteri kabinet yang lain.