fb fb fb fb fb

JBPM Selangor siap siaga menghadapi TBC

Foto BERNAMA

PUCHONG, 27 Januari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor telah bersiap siaga menghadapi musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya telah memeriksa 141 premis yang melibatkan pasar raya, hotel, inap desa, dan rumah tumpangan.

Katanya, pemeriksaan itu dilakukan untuk memastikan tahap keberkesanan sistem pencegahan kebakaran seperti gelung hos, alat pemadam api, petunjuk keluar, lampu kecemasan, dan lain-lain.

"Kami berharap agar semua lapisan masyarakat, penduduk di negara kita, terutamanya di Selangor ini, dapat berganding bahu dan bekerjasama untuk menjaga keselamatan bersama, khususnya dalam aspek keselamatan kebakaran, keselamatan jalan raya, serta keselamatan rumah kediaman.

"Ini amat penting terutama sekali ketika ramai di antara kita sedang bercuti, mengunjungi tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai atau melawat sanak saudara.

"Tempoh ini merupakan tempoh yang kritikal untuk kita semua menjaga keselamatan bersama, tidak kira dalam aspek kebakaran, keselamatan jalan raya, dan juga keselamatan tempat kediaman," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Musim Perayaan TBC 2025 di sini.

Pada tahun lalu, sebanyak 726 kes kebakaran dicatatkan, meningkat berbanding 557 kes pada tahun 2022 sepanjang operasi musim perayaan TBC.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM