HONG KONG, 24 Mei- Malaysia dan Hong Kong mencapai beberapa persetujuan antaranya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi bagi manfaat kedua-dua pihak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dicapai semasa pertemuannya bersama Ketua Eksekutif dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka Chiu.
"Di Hong Kong beberapa politeknik dan sekolah teknikal TVET ini sangat berjaya dalam mengendalikan kursus terutama dalam bidang baharu yang juga sedang diterokai dan dimulakan di Malaysia.
"Mereka sedia untuk membantu dengan memulakan latihan untuk pengajar ('training for trainers') iaitu hantar tenaga pengajar kita bagi mendapatkan latihan di Hong Kong dan diikuti juga dengan program pertukaran pelajar," katanya kepada pemberita di sini.
Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi ke China bermula Rabu lalu sehingga Jun ini.