fb fb fb fb fb

Rapatkan jurang perbezaan budaya, bahasa - Anwar

Foto Pejabat Perdana Menteri

TOKYO, 24 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak untuk berusaha merapatkan jurang perbezaan budaya dan bahasa di seluruh dunia.

Seruan dinyatakan Anwar menerusi syarahan khas bagi memperingati tokoh bahasa dan pengajian Islam Jepun, mendiang Profesor Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, hari ini.

Anwar memberi penghormatan dan penghargaan kepada tokoh itu atas jasanya memupuk pemahaman silang budaya yang mendalam terhadap pemikiran Islam dalam konteks kenegaraan dan masyarakat di Jepun.

"Marilah kita bersama-sama mengingati Izutsu dengan merangkul semangat empatinya, dengan berusaha memahami, sebelum cuba difahami.

"...Dan dengan berusaha untuk mencipta masa depan, di mana pencerahan ilmu dan nilai belas kasihan mampu membebaskan kita daripada kegelapan, sifat kejahilan dan kebencian," kata Anwar menerusi syarahan berkenaan di sini.

Semasa hayatnya, Izutsu menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Jepun; menonjolkan usaha manusia sejagat untuk mendapatkan makna dan pemahaman. 

Anwar menyifatkan usaha itu bukti kemahiran dan garapan linguistik mendalam yang membolehkan akses kepada Al-Quran kepada masyarakat Jepun.

Antara karya terkenalnya termasuk 'Sufism and Taoism'.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM