KUALA LUMPUR, 24 Mei - Portal kecerdasan buatan (AI) pertama negara yang dibangunkan MIMOS Berhad, Portal MY-AI akan menjadi rujukan utama dalam bidang berkenaan melalui penyediaan akses kepada sumber pengetahuan, alatan bantuan dan program latihan terkini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Yusof Apdal berkata ia merupakan langkah strategik dalam menyediakan sumber Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) untuk dimanfaatkan khususnya kalangan penyelidik, pelajar dan cendekiawan profesional dalam bidang itu.
“Dengan pelancaran Portal MY-Al ini, MOSTI berharap inovasi AI di Malaysia dapat ditingkatkan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
"Teknologi automasi dan pembelajaran mesin dalam AI dijangka dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja sehingga 40 peratus menjelang 2035. Selain itu impaknya merentasi pelbagai sektor seperti pembuatan, kesihatan dan peruncitan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Portal MY-AI, di sini.
Tambah Mohamad Yusof, sebagai langkah sementara, portal tersebut akan menyediakan pautan kepada Penyedia Cloud Service (CSP) sedia ada bagi mana-mana pengguna yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.