(FOTO PMO)
GEORGE TOWN, 11 Ogos- Malaysia berhasrat meningkatkan hubungan diplomatik dengan China dalam usaha memperkukuh perkongsian strategik kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan Menteri Luar China, Wang Yi mencerminkan hubungan baik kedua-dua negara.
Kedua-dua negara merancang untuk meneroka keperluan meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.
"Kemudian berbincang dengan menteri-menteri kanan Malaysia untuk perkuat hubungan dua hala terutama dari segi perdagangan, pelaburan, pendidikan, budaya dan dari segi strategik untuk menyelesaikan hal-hal yang boleh berbangkit.
"Dan kemudian kami juga meneroka keperluan untuk meningkatkan kerjasama penyelidikan, pendidikan," kata Anwar kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Wang dan perwakilan China di sini hari ini.
Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Wang kerana membantu membawa pelaburan utama China ke Malaysia.
Terdahulu, Wang mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar selama kira-kira 25 minit di Hotel Eastern & Oriental sebelum disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
(Malaysia hasrat perkukuh perkongsian strategik dengan China/PMO)