PASIR PUTEH, 10 Ogos-Lebih banyak pelaburan asing dan domestik akan di bawa masuk ke Kelantan sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Kelantan Ke 15 di negeri itu, Sabtu ini.
Jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memaklumkan langkah tersebut merupakan antara tumpuan yang akan di berikan BN-PH di bawah Kerajaan Perpaduan selain pemerkasaan sektor pendidikan dan mewujudkan peluang - peluang pekerjaaan kepada rakyat negeri itu.
"Azam kita selepas kemenangan di kelantan kita akan bawa lebih banyak pelabur asing untuk datang ke sini.
'Bagi peluang pekerjaan kepada anak - anak kelantan bekerja. kita tidak mahu anak Kelantan lebih ramai yang menganggur akhirnya terpaksa mencari kerja di luar. Insya-Allah tidak kurang dari 100,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan dapat di wujudkan", katanya ketika berucap pada Himpunan Jentera dan Penyokong BN-PH Pasir Puteh di Dewan Terbuka Uthmaniyah Kampung Pulau Lima di sini.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan kedudukan agama Islam tidak pernah tergugat mahupun terancam di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya menurut beliau peruntukan terhadap institusi dan hal ehwal Islam semakin bertambah sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara November tahun lepas.
(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/FOTO RTM)