(Zambry Abdul Kadir melakukan tinjauan ke kaunter khas Jabatan Imigresen dan
Imigresen Arab Saudi bagi program MRS di KLIA, malam tadi)
SEPANG, 30 Mei- Malaysia menghargai kepercayaan Kerajaan Arab Saudi untuk meneruskan program 'Mecca Route Service' (MRS) yang memanfaatkan 31,600 jemaah haji Malaysia tahun ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan MRS sebagai program istimewa kepada bakal jemaah haji Malaysia yang mempercepatkan proses dokumentasi bakal jemaah haji tanpa perlu bersesak dengan penumpang lain.
Anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara berkenaan.
“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang memberi kepercayaan kepada Malaysia.
"Ini adalah satu daripada perkhidmatan terbaik dan saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Arab Saudi. Kami sedia bekerjasama dalam bidang-bidang lain,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke kaunter khas Jabatan Imigresen dan Imigresen Arab Saudi bagi program MRS melibatkan pelepasan 285 jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.
Zambry berkata, ketika dilaksanakan enam tahun lepas, Malaysia merupakan negara tunggal yang dipilih Kerajaan Arab Saudi untuk projek rintis program itu sebelum disusuli pada tahun seterusnya dengan penyertaan Pakistan, Indonesia, Maghribi dan Bangladesh.
“Ini merupakan pendekatan kreatif yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi. Bukan semua negara dapat keistimewaan seumpama ini,” katanya.
Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim mendoakan jemaah haji Malaysia yang mengerjakan haji pada tahun ini mendapat haji yang mabrur.
“Kami gembira untuk memudah cara jemaah haji Malaysia dan Alhamdulillah, insya-Allah mereka akan mendapat haji yang mabrur,” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei lalu, manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.
(Zambry Abdul Kadir)