(Bakri Sawir)
JELEBU, 31 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif mengimbangi harga makanan palet di pasaran dengan mempergiat tanaman rumput jenis napier.
Exco Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, langkah mempergiat tanaman rumput jenis itu melibatkan kawasan seluas 500 hektar, digerakkan 30 pengusaha.
"Kita sudah berikan kawasan tertentu untuk menanam napier bagi mengimbangi harga palet yang begitu mahal. Saya dimaklumkan makanan napier lebih bernutrisi berbanding palet.
"Sehingga sekarang, kita telah berikan kepada 30 pengusaha untuk mengusaha tanaman ini (napier) dalam keluasan lebih kurang 500 hektar," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Input Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kepada Penternak, di Kampung Mentaus, di sini.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Kamarulrizal Mat Isa berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif itu yang boleh meningkatkan jumlah makanan ternakan bagi binatang ternakan ruminan.
"Kita amat menyokong penuh penternak untuk mengusahakan makanan ternakan khususnya untuk makanan ternakan ruminan. Yang mana, buat masa ini, harga makanan, contohnya seperti palet sangat tinggi, dari semasa ke semasa, harga (palet) semakin meningkat.
"Oleh itu, sekiranya ada penternak atau pengusaha yang ingin menanam rumput, kita sangat menggalakkan agar bekalan makanan khususnya makanan ternakan untuk ternakan ruminan dapat ditingkatkan," katanya di sini.
(Kamarulrizal Mat Isa)