fb fb fb fb fb

Malaysia harap eksport utama beras ASEAN bekal kepada negara anggota

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Malaysia berharap negara pengeksport utama beras dalam ASEAN, dapat mengutamakan bekalan makanan ruji itu kepada negara anggotanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, perbincangan mengenai isu beras akan dilakukan secara tertutup dengan negara ASEAN seperti Thailand dan Vietnam.

"Mungkin dalam sesi bilateral kita akan bangkitkan perkara ini contohnya mengeratkan lagi hubungan dua negara ini supaya boleh meletakkan keutamaan kepada eksport beras untuk ASEAN," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan ke-45 di ibu negara.

Mengulas mengenai Ops Bersepadu Beras Putih Tempatan Chan Foong Hin berkata pemeriksaan menyeluruh di semua peringkat rantaian industri padi dan beras akan bermula pada bila-bila masa.

"Kelmarin kita baru adakan mesyuarat pertama berkenaan isu ini selain terma dan rujukan untuk Ops Bersepadu beras putih tempatan.

"Ini bukan soal lawatan, ianya operasi jadi ia akan dilakukan pada bila-bila masa. Saya tidak akan cakap bila operasi itu akan dilakukan," katanya.

(Chan Foong Hin)

Media Baharu