fb fb fb fb fb

Agensi penguatkuasaan dibenar periksa kilang, pemborong padi dan beras

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan Task Force Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT) semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan memaklumkan, mesyuarat bersetuju menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 522 bagi menjalankan pemeriksaan serta mewujudkan Pusat Gerakan Bersepadu di kementerian.

Berkenaan penurunan harga belian padi daripada RM1,800 kepada RM1,200 per tan dibuat pengilang, bukannya kerajaan.

Bagaimanapun, kerajaan kekal memberi subsidi sebanyak RM500 per tan.

Perkara itu masih membolehkan pesawah mendapat kira-kira RM1,700 per tan padi dan disahkan Setiausaha Akhbar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Adyesham Nor.

Ketika ini harga lantai belian padi yang ditetapkan kerajaan ialah RM1200 per tan.

Adyesham Nor turut mendedahkan, para pengilang padi berharap kerajaan menaikkan harga beras tempatan kepada RM3.20 sekilogram memandangkan harga beras dunia meningkat kepada RM3.20 sekilogram.

Bagaimanapun, kerajaan bertegas untuk mengekalkan harga beras tempatan RM2.60 sekilogram dan sebagai tindak balas, para pengilang terlibat segera menurunkan harga belian padi mereka bermula semalam.

(Foto hiasan)

Media Baharu