JOHANNESBURG, 23 November -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa Malaysia campur tangan dalam ketegangan diplomatik baru-baru ini antara Thailand dengan Kemboja.
Beliau sebaliknya menegaskan, Malaysia hanya bertindak sebagai memudah cara dialog ke arah penyelesaian lebih baik dan menyeluruh.
Beliau berkata, penglibatan Malaysia hanyalah berdasarkan kedudukan sebagai negara jiran yang rapat dan dipercayai, serta Putrajaya juga tidak pernah menentukan cara Bangkok dan Phnom Penh menyelesaikan isu kedua-dua negara itu.
"Biar saya jelaskan. Pertama, sebagai jiran, kita sememangnya prihatin, tetapi kita tidak terlibat dan juga tidak memberikan sebarang preskripsi tertentu tentang kaedah yang perlu untuk mencapai penyelesaian," kata beliau kepada wartawan Malaysia pada sidang media, di sini.
Perdana Menteri berkata, usaha Malaysia berpandukan kepercayaan kukuh kedua-dua negara terhadap Putrajaya sebagai rakan yang dapat membantu membuka saluran komunikasi apabila diperlukan.
"Saya hanya bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri untuk bertanya sama ada mereka boleh berbincang. Mereka menetapkan parameter sendiri dan menentukan isu-isunya," kata beliau sambil menambah bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump juga telah bercakap dengan kedua-dua pihak semasa proses berkenaan.
"Kita hanya cuba berhubung dengan kedua-dua pihak kerana mereka menganggap kita sebagai sahabat," kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Datuk Seri Anwar berkata adalah tidak tepat bagi sesiapa di Thailand menggambarkan peranan Malaysia sebagai satu campur tangan.
"Saya tidak tahu pertimbangan politik dalaman mereka, tetapi untuk mencadangkan bahawa kita campur tangan adalah tidak benar, tidak mungkin kita masuk campur," katanya lagi.
Tambah beliau lagi, Thailand dan Kemboja mempunyai legitimasi, keupayaan dan hak kedaulatan untuk menyelesaikan masalah negara itu sendiri, dan Malaysia menghormati perkara itu sepenuhnya.
Berhubung perkembangan lain, Datuk Seri Anwar berkata beliau telah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Phạm Minh Chính, yang mahu mempercepat Grid Tenaga ASEAN dari Vietnam ke Singapura.
Selepas itu, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengingatkan bahawa mesyuarat dua hala pada Disember ini perlu lebih substantif dalam menyelesaikan beberapa isu tertunggak.