KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Cadangan menubuhkan pakatan ketenteraan negara-negara Islam bagi menghadapi Israel perlu diperhalusi dengan teliti bagi memastikan matlamat keamanan serantau dapat dicapai.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, sebarang bentuk kerjasama antara negara Islam perlu bersifat menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan semata-mata.
“Malaysia terus aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui koordinasi Kementerian Luar Negeri, agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Perwakilan Malaysia di rantau turut memainkan peranan penting dalam memudah cara pengagihan bantuan serta memberi gambaran situasi sebenar di lapangan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama lebih erat dalam kalangan negara Islam, khususnya dalam penyelarasan bantuan kemanusiaan.
“Pada hemat Malaysia, sekiranya wujud kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara Islam termasuk dari sudut penyelarasan bantuan kemanusiaan, ia berpotensi memperkukuh solidariti dengan Islam dan seterusnya meningkatkan keberkesanan usaha membantu rakyat Palestin,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid mengenai pendirian rasmi Malaysia terhadap kenyataan Perdana Menteri Iraq yang menggesa penubuhan satu pakatan ketenteraan negara-negara Islam bagi menghadapi dasar penindasan Israel.