KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Malaysia komited untuk terus menyokong serta membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama yang memupuk keamanan sejagat, termasuk melalui penganjuran program ilmiah dan dialog antarabangsa seperti Persidangan Keamanan Kuala Lumpur (KL Peace Conference) 2025.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, penganjuran persidangan itu yang dilaksanakan dengan kerjasama The Nippon Foundation, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan contoh terbaik usaha bersama antara institusi pendidikan tinggi dan rakan antarabangsa dalam memperkukuh agenda keamanan global.
“Kita akan bersama-sama dengan sebarang usaha seperti yang kita lihat pada hari ini, di mana program ini dianjurkan oleh The Nippon Foundation bersama dua institusi utama, Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Insya-Allah, kita sentiasa bersedia untuk memberi ruang dan membuka peluang kepada bentuk kerjasama seperti ini kerana kita perlu meneruskan usaha-usaha yang baik dalam mewujudkan keamanan dunia,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini hari ini.
Zambry berkata, kementerian melihat inisiatif seperti ini sebagai sejajar dengan matlamat Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, yang menekankan peranan pendidikan sebagai pemangkin kepada keamanan, toleransi dan pembangunan mampan.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak institusi pendidikan tinggi tempatan dalam program diplomasi trek kedua (track-two diplomacy) bagi memperkukuh kefahaman rentas budaya serta membina jambatan dialog di rantau ini.